
Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Dalam memastikan perkhidmatan kepada masyarakat berjalan dengan baik dan berkesan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kuala Pilah telah beroperasi di tempat baharu iaitu di Kompleks Mini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini.
Menurut Ketua Cawangan JPJ Kuala Pilah Siti Norazura Ibrahim, dengan adanya tempat operasi baharu yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti ruang tempat letak kereta untuk pelanggan, tandas dan kiosk makanan dan minuman, ia telah memberi imej yang baik kepada JPJ Kuala Pilah sendiri.
“Perpindahan dari lokasi yang lama di Pusat Perniagaan Melang turut membolehkan pelbagai urusan berkaitan dengan pembaharuan lesen, semakan maklumat kenderaan malahan perkhidmatan konsultasi dapat dilakukan dalam satu ruang yang sama.
“Keadaan ini membolehkan pelanggan berurusan dalam konsep pusat sehenti, malah, para pegawai turut bermotivasi dalam memastikan piagam pelanggan tercapai kerana urusan pelanggan dapat diselesaikan dengan segera dan cekap,” ujarnya.
Tambah Norazura lagi, besarlah harapannya agar lokasi yang baharu ini dapat memberikan kepuasan dan kemudahan kepada para pelanggan bukan sahaja daripada Kuala Pilah malahan yang berada di luar kawasan.
-AK