
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 1,050 Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Terengganu yang baharu sahaja dilantik awal bulan lalu begitu teruja untuk menabur bakti dan berkhidmat kepada masyarakat setempat.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, telah menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Pengerusi JPKK Mukim Pak Tijah/Gong Kuin Zainal Lasin, berkata beliau yang sudah dua tahun menjadi ahli JPKK di mukim berkenaan merasakan pembaharuan nama dari MPKK bertukar ke JPKK dilihat sesuai dengan keadaan semasa.
“Penjenamaan semula MPKK itu sejajar dengan hasrat kerajaan bagi memastikan ianya akan menjadi institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pembangunan sesebuah kampung.

Pengerusi JPKK Mukim Pak Tijah / Gong Kuin, Zainal Lasin mengharapkan dengan penjenamaan semula nama kepada JPKK ini akan memberi semangat kepada semua Ahli Jawatankuasa dalam memberi khidmat kepada rakyat.
“Bukan itu sahaja, MPKK dijenamakan semula kepada JPKK dan dianggotai seramai 15 orang dan seperti yang dimaklumkan kepada kami semua, kerajaan negeri bersetuju membuat lantikan tambahan seramai lima orang lagi menjadikan jumlahnya seramai 20 anggota di setiap mukim,”katanya ketika ditemu ramah di rumahnya.
Menurutnya lagi, JPKK adalah ejen pembangunan di peringkat akar umbi di dalam sistem pentadbiran kerajaan, yang bertindak sebagai penghubung antara jabatan atau agensi kerajaan dengan rakyat serta bertanggungjawab menyebarkan maklumat berkaitan program-program kerajaan yang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
“JPKK merupakan unit pelaksana dasar-dasar kerajaan di peringkat yang paling hampir dengan rakyat, di samping menjadi ejen menyalur aspirasi rakyat ke peringkat yang paling tinggi.
“Sebagai pengerusi JPKK soal kebajikan sosial dan masyarakat perlu dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan yang disediakan dan pembangunan sosial yang profesional serta perkongsian tanggungjawab yang strategik,” katanya dengan nada yang begitu bersemangat.
Pengerusi JPKK Mukim Tok Jembal Zaki Sheikh Ma’atok, yang telah dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa untuk tahun yang ketiga berkata pelbagai pengalaman dan rintangan dilalui oleh beliau sepanjang berkhidmat di kawasan berkenaan menjadikannya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Tahun ini merupakan tahun ketiga saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan pengalaman yang diperolehi sebelum ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk di sini.
“Isu-isu yang berbangkit seperti masalah sistem perparitan, longkang dan sebagainya yang tidak dapat diselesaikan pada tahun lepas akan disegerakan untuk ditambah baik pada tahun ini,” katanya.
Tambahan lagi, objektif penubuhan JPKK adalah bertujuan mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang dan serba lengkap dari segi keperluan asas yang dijalankan menerusi pembangunan masyarakat melalui perubahan sikap dan peningkatan keupayaan untuk berdikari.

Pengerusi JPKK Mukim Tok Jembal, Zaki bin Sheikh Ma’atok begitu teruja untuk memberikan perkhidmatan beliau kepada masyarakat setempat.
“JPKK yang telah dibentuk perlu membuat perancangan kemajuan kampung dengan mewujudkan pelan tindakan pembangunan berdasarkan kepada keperluan penduduk mengikut keutamaan,” katanya.
-ii-