
Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes COVID-19 memaksa pihak kerajaan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka pada tahun 2021.
Sebelum ini pembelajaran formal hanya di sekolah, namun pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara maya diperkenalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negara.
Bagi Wan Sharatulnaim W.Jusoh, 44, seorang guru, PdPR adalah pilihan terbaik bagi masa kini.
Ujarnya, langkah ini dilihat sebagai tepat dan perlu memandangkan kenaikan mendadak kes COVID-19.
“Bagi pendapat saya sebelum ini, pelaksanaan PdPR berada dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemahiran, alatan dan rujukan.
“Dalam masa yang sama pelajar juga dilihat masih belum bersedia untuk memulakan norma baharu ini. Namun, pengalaman lalu membuatkan pelaksanaan PdPR kali ini lebih tersusun dan guru-guru berperanan besar di mana mereka dipertanggungjawabkan untuk menyusun modul,” katanya ketika ditemui, semalam.
Manakala menurut Mazlan Tawang, 54, bapa yang mempunyai anak yang bersekolah di tingkatan empat, Sekolah Menengah Sultan Omar menyokong penuh PdPR namun meluahkan sedikit kebimbangan mengenai keberkesanan sistem ini.
“Penerimaan pelajar terhadap sesuatu subjek, capaian internet, kesediaan pelajar dan pembabitan ibu bapa adalah antara faktor yang boleh menjejaskan keberkesanan proses ini. Namun begitu, bila difikirkan kembali, ianya adalah kaedah yang paling sesuai pada ketika ini.
“Saya percaya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) sentiasa memikirkan penyelesaian terbaik dalam konteks pelaksanaan dan keberkesanan,” katanya.
Bagi Mueez Naufal Mahadi, 14, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, sesi pembelajaran dalam talian memerlukan beliau memberi perhatian lebih berbanding sesi pembelajaran di sekolah dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi beliau.
“Saya tidak menjadikan PdPR ini sebagai halangan untuk saya berjaya dan saya jadikan ia sebagai satu cabaran yang perlu saya sahuti,” ujarnya.
Raja Ezani Raja Noor Ezam, 36, bapa kepada dua orang anak yang masih di sekolah rendah bersetuju dengan saranan beberapa pihak agar kerajaan menggunakan perkhidmatan stesen Televisyen Kerajaan mahupun siaran berbayar untuk menyiarkan rancangan TV Pendidikan bagi memberi alternatif kepada pelajar dan mengatasi masalah capaian internet yang rendah di luar bandar.
Katanya lagi, semua pihak perlu mencari cara terbaik bagi menghadapi isu PdPR ini dan tidak wajar apabila membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka kerana kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang baru diperkenalkan.
-ii-