
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan tahap sara diri padi sebagai makanan ruji di Negeri Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus pada tahun ini kerana penghasilan makanan di negeri ini masih belum mencukupi.
Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pertanian merupakan satu sektor yang sangat dekat dengan rakyat negeri tersebut dan bekalan makanan yang mencukupi akan menjamin kesejahteraan rakyat dan proses kemajuan sesebuah negara.
“Sudah tentunya, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar berteknologi tinggi ini, boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi yang ada ketika ini, dan seterusnya meletakkan bekalan makanan Terengganu ditahap yang mencukupi,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Katanya, ketika Belanjawan 2021, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan kepada sektor pertanian sebanyak RM20 juta berbanding hanya RM8 juta pada tahun 2020.
“Pelan tindakan untuk membolehkan lonjakan perkembangan dalam bidang pertanian negeri telah dirangka, dengan meletakkan sasaran tertentu bagi tahun 2021 untuk dicapai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau berkata, antara Sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 adalah meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah, meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah KDNK negeri serta meningkatkan jumlah gunatenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang.
“Memandangkan ketika ini kita tidak dibenarkan untuk mengadakan penyerahan secara fizikal, maka dengan ini saya berbesar hati mengumumkan bahawa sebanyak 602 lesen nelayan sampan zon A telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk seluruh Negeri Terengganu.
“Manakala RM300 ribu insentif telah diperuntukkan kepada 173 peserta Malaysia Good Agricultural Practice (MyGap).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.
“Sementara itu, sebanyak RM330 ribu diperuntukkan untuk pilot Projek Lembu Sado Berkelompok yang melibatkan seramai 10 orang peserta Projek Kandang Berkelompok dan 13 orang peserta Projek Induk Pengganda dan sebanyak RM5.7 juta pembiayaan telah diberikan kepada 283 orang melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT), pinjaman ini bebas daripada sebarang faedah,” tambahnya.
Pengumuman tersebut dibuat secara siaran langsung menerusi Facebook Live TV Darul Iman dan sesi rakaman turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar Dr. Azman Ibrahim.
-ii-