
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin(Labuan)
LABUAN, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Para majikan yang menggaji pekerja asing digesa untuk melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja mereka dengan segera.
Menurut Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Labuan Ag. Ismail Ag. Tangah, pihaknya akan mengeluarkan notis saringan kepada majikan dan memberi tempoh yang munasabah kepada majikan yang belum membuat saringan ke atas pekerja mereka.
“Jika tidak dilaksanakan kita akan lakukan tindakan penguatkuasaan yang akan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” katanya selepas mengetuai Operasi Khas Task Force Program Kesihatan COVID-19 (TF-PSKC19) serta Operasi Khas ke Atas Asrama dan Penginapan Pekerja Bawah Akta 446, semalam.
Selain itu, beliau turut mengingatkan para majikan agar mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Bermula serentak seluruh negara kita akan melaksanakan penguatkuasaan Akta 446 ini yang akan melihat aspek kemudahan, kesesuaian, keselamatan yang disediakan oleh majikan kepada pekerja asing.
“Majikan hendaklah mendapat perakuan daripada JTK tentang perakuan penginapan yang dibuat mereka,” katanya lagi
Mengulas mengenai operasi itu, Ag. Ismail berkata terdapat beberapa kelonggaran yang dilakukan oleh majikan dan tindakan susulan akan dilakukan oleh JTK serta beberapa agensi berkaitan yang lain.
“Kekurangan didapati dari segi memenuhi Akta 446 itu sendiri, kita ambil keterangan beberapa pekerja dan kita minta pihak majikan melakukan tindakan segera dalam tempoh munasabah sebelum kita ambl tindakan penguatkuasaan.
“Pemantauan akan terus dilakukan dan ini boleh membantu pihak kerajaan mengekang sebarang penularan penyakit seperti COVID-19,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Labuan Soripin Ripol, yang turut serta dalam operasi itu mendapati ada beberapa pekerja yang belum melakukan saringan COVID-19.
“Surat peringatan kepada majikan untuk melakukan saringan ke atas pekerja mereka telah dikeluarkan dan saya mohon kepada para majikan untuk melaksanakan saringan COVID-19 terhadap pekerja mereka secepat mungkin.
“PERKESO menyediakan subsidi bagi saringan ini bagi semua pekerja asing dan ada dua klinik di Labuan yang dilantik sebagai panel saringan COVID-19,” jelasnya.
Operasi yang dijalankan di dua lokasi itu turut melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
-SH