
Foto: Facebook KKM
PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia merekodkan angka tertinggi untuk dua hari berturut-turut dengan 5,728 kes, selain terdapat 13 lagi kematian akibat wabak itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 47,388 kes, manakala bilangan kumulatif kes maut sebanyak 746.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu, 5,723 adalah penularan tempatan dan lima kes import iaitu membabitkan dua rakyat tempatan dan tiga warga asing.
“Pada masa ini terdapat 319 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 120 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi Twitter rasminya semalam.
Dr Noor Hisham memaklumkan 3,805 kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif bagi kes sembuh sebanyak 161,527 kes, manakala pertambahan kes hari ini pula menjadikan jumlah kumulatif kes kini 209,661.
Beliau berkata Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 3,285 kes bersamaan 57.3 peratus daripada keseluruhan kes baharu, dengan 2,467 daripadanya adalah kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.
Ini diikuti Johor sebanyak 792 kes (13.8 peratus) dan Kuala Lumpur dengan 480 kes (8.4 peratus), katanya.
Dr Noor Hisham memperincikan 13 kes kematian yang dilaporkan melibatkan empat kes di Selangor, masing-masing dua kes di Sabah, Labuan dan Perak serta masing-masing satu kes di Johor, Sarawak dan Melaka, dengan kesemuanya mempunyai komplikasi kesihatan.
— BERNAMA