Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MCMC Keluar Pelawaan Disemak Semula Bagi Penyertaan Fasa Pertama JENDELA

By 15 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengeluarkan pelawaan disemak semula kepada pemegang lesen yang layak dan berminat untuk menyertai pemasangan kemudahan rangkaian dan penggunaan perkhidmatan rangkaian.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata ia adalah bagi menyediakan perkhidmatan selular awam pada sasaran perkhidmatan sejagat di bawah inisiatif fasa pertama Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Pelawaan ini menggantikan pelawaan asal yang dikeluarkan pada 20 November, 2020.

“Pelawaan yang disemak semula itu merangkumi skop kerja yang dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama meliputi pemasangan prasarana pasif manakala bahagian kedua merangkumi pemasangan prasarana aktif dan penggunaan perkhidmatan selular awam,” katanya dalam satu kenyataan.

MCMC berkata pemegang lesen yang berminat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh memilih untuk menyertai sama ada bahagian satu atau bahagian dua.

“Skop kerja dan kriteria kerja yang disemak semula itu bertujuan untuk mempercepat pelaksanaan kerana ia akan membolehkan lebih ramai pemegang lesen menyertai inisiatif ini yang merangkumi 1,661 lokasi dalam 106 kluster di seluruh negara.

“Tarikh tutup bagi pendaftaran adalah pada 2 Februari, 2021, dan serahan draf pelan perkhidmatan sejagat oleh pemegang lesen yang berminat dan yang layak adalah pada 31 Mac, 2021,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda