
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyampaikan 600 pek sumbangan kepada mangsa banjir ketika lawatan ke daerah Kota Tinggi.
Menurut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, misi bantuan ini diadakan bagi membolehkan kementerian turut terlibat dalam membantu rakyat yang terjejas banjir, khususnya dari segi pembersihan dan bantuan lain.
“Sumbangan ini bukan sahaja dari kementerian tetapi ia juga merupakan hasil sumbangan daripada para pemain industri bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas akibat bencana ini.
“Saya amat berharap, para pemain industri yang beroperasi di Malaysia dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan juga mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, di sini semalam.
Azmin turut memaklumkan telah dihubungi oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menitahkan agar semua sumbangan yang ingin disalurkan kepada rakyat Johor perlu dipastikan selamat dan berkualiti agar ia dapat membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir.
Sumbangan berupa barangan keperluan, makanan, tong gas dan dapur telah disampaikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Mohamad Hapil.
-NI