Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

PdPR Wadah Baharu Dunia Pendidikan

By 29 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Norhaidah Md Esa (Port Dickson)

PORT DICKSON, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengubah sistem pendidikan konvensional kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata PdPR awalnya memberi wadah baharu dalam dunia pendidikan di mana pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan semasa pandemik COVID-19.

“Para pendidik mula mempunyai ruang dan peluang untuk menggunakan segala teknologi dan aplikasi yang tersedia melalui komputer dan telefon pintar.

“Selain itu, para pendidik juga mula mengambil inisiatif mempelajari dan menggunakan aplikasi tersebut dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran kekal menarik serta merangsang tumpuan pelajar untuk terus menimba ilmu biar pun dari rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Tambah Fuad, walaupun demikian, semenjak PdPR diperkenalkan terdapat pelbagai masalah dan kekurangan yang berlaku dalam dunia pendidikan.

“Pendidik mungkin mahir menggunakan teknologi untuk sesi pengajaran tetapi kesediaan serta tahap kemahiran para pelajar mungkin tidak setanding teknologi dan aplikasi tersebut, mereka mungkin hanya bergantung kepada kemahiran melalui pengalaman atau bimbingan ibu bapa yang agak terhad berdasarkan tahap pendidikan dan pengalaman peribadi dalam penggunaan teknologi,” ujarnya.

Sementara itu, Norliza Mohd Nor, 40, penjawat awam, berkata beliau akur dengan pelaksanaan konsep PdPR walaupun ia kurang efektif serta kurang sesuai dilaksanakan di rumah.

“Tidak semua ibu bapa mampu menyediakan kemudahan teknologi dan akses internet utk sesi PdPR serta dapat memantau sesi pembelajaran dalam talian anak-anak, serta ramai pelajar akan tercicir disebabkan tiada akses internet, kemudahan teknologi seperti komputer dan mengalami gangguan akses internet,” katanya.

Bagi Norazliana Nadri, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Sunggala, dalam mendepani kekangan masalah kurang akses internet, beliau menggunakan pembelajaran melalui aplikasi Whatsapp dengan menyediakan dua bentuk nota iaitu video dan nota bertulis serta latihan berbentuk kuiz.

“Walaupun agak mencabar bagi PdPR, kita perlulah bersedia berubah ke arah pembelajaran secara digital, namun, bagi pelajar yang mempunyai kekangan, kita boleh menggunakan kaedah yang lebih sesuai agar objektif pembelajaran dapat dicapai.

“Hubungan baik serta persefahaman antara ibu bapa dan guru amatlah penting agar anak-anak tidak tercicir dalam pembelajaran mereka,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda