
Laporan/foto: Afnan Hakimi (Marang)
MARANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada kumpulan B40 dan M40 melibatkan 11.06 juta penerima merangkumi 10.06 juta penerima sedia ada serta 460,000 penerima baharu dengan jumlah keseluruhan RM 2.38 bilion bermula 21 Januari lalu memberi kelegaan kepada golongan yang terjejas dengan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Menurut Mohd Syukri Kadir, 27, yang layak mendapat bantuan individu bujang di bawah BPN berkata, inisiatif kerajaan itu bertepatan pada masanya memandangkan keadaan musim COVID-19 ‘membantutkan’ kerja harian.
“Sehingga sekarang ramai orang tidak dapat mencari rezeki seperti biasa termasuk saya yang hanya bergantung dengan gaji harian sebagai pembantu kedai makan.
“Meskipun kadar bantuan yang diberikan tidak mencukupi, namun saya bersyukur kerana setidak-setidaknya kerajaan turut mengambil berat akan keperluan individu bujang seperti kami. Terima kasih bantu ringankan bebanan kami di saat semua orang memerlukan wang ketika ini,” ujarnya ketika ditemubual, semalam.
Sementara itu, seorang suri rumah Nurshahirah Mamat, 22, berkata pemberian BPN adalah sangat wajar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ia kerana katanya, bantuan itu amat membantu meringankan beban dan boleh digunakan bagi membeli barang keperluan terutama semasa saat sukar ini.
“Sejak negara dilanda COVID-19, perbelanjaan harian untuk keluarga kami sedikit meningkat dan dengan pemberian BPN ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban suami dalam membeli kelengkapan sekolah anak sulong kami yang baru memasuki tahun satu,” ujarnya.
Bagi Nurshahirah, kadar bantuan yang ditetapkan kerajaan adalah memadai memandangkan ia diberikan mengikut kategori pendapatan bulanan.
Sementara itu, pekerja swasta, Mohd Shukri Abd Ghani, 33, berkata tindakan kerajaan membuat pembayaran BPN Fasa Dua pada Januari adalah wajar kerana semua golongan dan kategori rakyat bakal mendapat manfaat bersama dan tidak ada yang terkecuali.
“Sejak negara dilanda COVID-19 dan pelaksanaan PKP, perbelanjaan harian untuk keluarga kami sedikit meningkat memandangkan semua isi rumah berada di rumah. Walau bagaimanapun, amalan berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah perlu dilakukan,” katanya.

Mohd Shukri Abg Ghani, 33, pekerja swasta mengajak rakyat yang dibantu oleh kerajaan bersyukur dan menggunakan wang yang diterima secara berhemah.
Beliau turut mengajak rakyat yang bakal dibantu untuk bersyukur dengan menggunakan bantuan secara berhemah dan cermat.
Jelasnya, bantuan kewangan yang diberikan perlu digunakan dengan sewajarnya agar sama-sama dapat membantu merangsang ekonomi negara semula.
-ii-