Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Penanam Cili Terima Rebat

By 8 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 48 orang ahli Pertubuhan Peladang Bukit Awang yang juga penanam cili menerima rebat harga cili bagi tahun 2020 dalam Majlis Ramah Mesra Penanam Cili PPK Bukit Awang.

Ahli Parlimen Pasir Puteh merangkap Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, menzahirkan harapan agar penanam cili dapat menjadikan kejayaan pengeluaran cili pada tahun 2020 sebagai pemangkin semangat.

“Rebat ini bermaksud pemulangan sebahagian amaun yang telah dibuat sebagai bayaran daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang kepada para peserta Ladang Kontrak Tanaman Cili sebanyak RM 0.15/kg bagi setiap penanam dan keseluruhan rebat berjumlah RM 11,500.00.

“Pembayaran rebat ini adalah berdasarkan keuntungan yang diperolehi hasil dari pemasaran cili yang mana nilai pembayaran adalah berdasarkan kuantiti jualan cili oleh penanam kepada PPK,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

YB Dr Nik Muhammad Zawawi mendengar Penerangan berkenaan produk hasil tanaman cili

Dr Nik Muhammad Zawawi mendengar penerangan berkenaan produk hasil tanaman cili.

PPK Bukit Awang telah mewujudkan Program Ladang Kontrak (Tanaman Cili) sejak tahun 1996 dengan kerjasama sebuah syarikat industri makanan dan minuman halal di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kelantan Mohd Hanifa Awang Su, berkata kaedah baharu seperti tanaman secara fertigrasi juga mampu menyumbang hasil dengan pendapatan yang lebih lumayan kepada para penanam.

“Tahun 2020 mencatatkan pengeluaran yang memberangsangkan iaitu sebanyak 250 metrik tan dengan nilai RM 1.451 juta telah berjaya dipasarkan melibatkan 56 orang peserta dengan keluasan tanaman 93 ekar,” katanya.

Penanam cili, Witchni Eh Put, 49, berkata beliau bersyukur tersenarai dalam 10 orang penerima peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut.

“Saya telah mengusahakan tanaman cili selama lima tahun, semoga dengan bantuan pakej rangsangan ini menerusi Projek Tanaman Cili Fertigrasi ini dapat meningkatkan pengeluaran hasil tanaman saya,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Muhammad Zawawi turut menyampaikan gimik penyerahan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk Projek Tanaman Cili Fertigrasi kepada 10 orang usahawan daripada PPK Bukit Awang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000.

-NAZ-

Tinggalkan komen anda