
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Ahmad Rozli (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Peningkatan Kes COVID-19 dalam komuniti menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sesi persekolahan yang dijadualkan Rabu lalu kecuali sesi persekolahan secara bersemuka melibatkan murid yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa dan setara.
Tinjauan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu semalam mendapati rata-rata sekolah di daerah ini mengambil pendekatan yang lebih mudah dan berbeza dengan memperkenalkan kaedah pendaftaran secara pandu lalu berbanding dengan tahun sebelumnya.
Roni Mohd Yusof, 41, salah seorang bapa yang hadir bagi urusan pendaftaran persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Mariam, Kuala Terengganu berkata kaedah pandu lalu yang diperkenalkan oleh pihak sekolah sangat efektif dan memudahkan urusan ibu bapa dalam membuat pendaftaran persekolahan kerana selain menjimatkan masa, tiada kesesakan berlaku dan jarak pergerakan dikawal rapi.
Katanya, situasi ini sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada ibu bapa dan dalam masa yang sama prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dapat dipatuhi.

Roni Mohd Yusof, 41 ketika menyelesaikan urusan pendaftaran persekolahan anaknya di SK Tengku Ampuan Mariam, Kuala Terengganu.
“Sebagai ibu bapa, kita terpaksa akur dengan langkah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan segala inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah terbaik buat masa ini,” katanya.
Rohaya Ismail, 42, berkata pendaftaran persekolahan pada kali ini lebih mudah, cepat serta efisien dan dapat mengekang penularan wabak COVID-19.
“Saya berpendapat tahun lepas dan tahun ini adalah tahun yang mencabar buat ibu bapa dalam menguruskan persekolahan anak-anak terutamanya ibu bapa yang bekerja dan pada masa yang sama perlu memantau sesi persekolahan dalam talian anak-anak di rumah.
“Selaku ibu yang bekerja saya perlu bijak membahagikan masa yang bersesuaian untuk memantau kerja-kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru agar anak tidak tercicir.
“Saya berharap wabak COVID-19 akan berakhir dengan segera memandangkan anak-anak teruja untuk kembali ke sekolah untuk bertemu guru-guru dan rakan-rakan bagi meneruskan sesi persekolahan,” katanya.
-ii-