
Laporan/foto: Izzuddin Barahim/Syed Shamsulnizan Syed Hamzah (Kangar)
KUALA PERLIS, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Hujung Tanjung dan Kampung Tengah mengambil inisiatif menjalankan aktiviti menghias laman dan dinding rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Asri Jab, aktiviti ini telah mula dilaksanakan sejak bulan November 2020 yang lalu.
“Sebanyak 62 buah rumah telah menyertai aktiviti ini dengan penglibatan seramai 250 orang penduduk dan juga NGO tempatan dari pelbagai peringkat umur.
“Setiap laluan masuk turut dihias bagi menyerikan lagi suasana di sekitar kampung ini,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Asri turut memaklumkan, barang-barang hiasan yang digunakan untuk aktiviti ini termasuklah payung, tanglung, kain perca dan barang-barang terpakai.
“Konsep warna pelangi digunakan bagi menaikkan lagi suasana ceria dan menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk setempat.
“Aktiviti-aktiviti ini dijalankan bermula pukul 5 petang sehingga 7 malam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti mencantikkan kawasan di sekitar kampung ini diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung domestik untuk datang ke sini selepas tamat tempoh pelaksanaan PKP yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi para penduduk kampung.
Peniaga warung nasi lemak Yuhayani Abdullah, 54, berkata suasana dan perubahan yang dilakukan oleh para penduduk haruslah dijaga dan dikekalkan supaya generasi akan datang dapat menyaksikan keindahan kampung ini.
“Saya amat berharap penduduk-penduduk di sini dapat mengubah mentaliti mereka dengan menjaga kebersihan dan mengekalkan hiasan serta suasana ceria ini untuk dijadikan warisan kepada anak cucu pada masa akan datang,” ujarnya.
Kampung Hujung Tanjung dan Kampung Tengah merupakan salah satu kampung kecil dari tujuh kampung dalam penempatan yang dinamakan Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang dipilih sebagai perintis aktiviti menghias laman dan dinding rumah.
-NI-