
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Ali Imran (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Rata-rata peniaga dan penjaja di sekitar Kuala Nerus menerima dan memahami Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikuatkuasakan bermula semalam.
Para peniaga dan penjaja menunjukkan pelbagai reaksi apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan bermula semalam.
Bagi peniaga pasar malam Serdang Baru, Bukit Tunggal, Mohd Syukri Sheikh Hassan, 55, berkata beliau menjana pendapatan seharian dengan menjual ayam goreng di pasar pagi dan malam di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menerima pengumuman PKPB berkenaan dengan hati yang terbuka.
“Kita sebagai peniaga memahami kerajaan terpaksa melaksanakan PKPB dan mengisytiharkan darurat bagi menangani masalah pandemik dan ekonomi negara.
“Majoriti peniaga di pasar ini seperti sudah bijak mengatur waktu operasi perniagaan dengan lebih teratur mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, oleh itu tiada masalah untuk kami mematuhi dan menjalankan perniagaan setiap hari,” katanya ketika ditemuramah di sini, semalam.
Di samping itu, Halimatun Hazlah, 38, berkata beliau yang sudah menjalankan perniagaan menjual murtabak di pasar berkenaan hampir lima tahun, mengakui jualan harian sedikit merosot berbanding sebelum penguatkuasaan PKPB.

Halimatun, mengharapkan pandemik COVID-19 ini berakhir dengan segera agar masyarakat dapat menjalankan aktiviti seperti kebiasaan.
“Kemungkinan besar, orang ramai masih bimbang dan tidak yakin untuk datang ke pasar malam seperti kebiasaan dan ini sekali gus, menjejaskan pendapatan kami sekeluarga.
“Saya mengharapkan orang ramai lebih memahami SOP yang telah ditetapkan dan menjalani aktiviti harian seperti biasa dengan datang membeli makanan dan barangan keperluan harian di sini,” katanya.
Bagi pemilik kedai buah-buahan di Pasar Batu 6, Tepuh, Nor Amira Jusoh, 31, yang menghadapi situasi berbeza apabila pendapatan harian beliau meningkat hampir tiga puluh peratus berbanding sebelum penguatkuasaan PKPB.

Nor Amira Jusoh, 31, sentiasa komited dengan memastikan urusan jual beli di kedai buahnya mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Pengalaman saya sebelum ini, sebaik sahaja PKPB dilaksanakan secara tidak langsung telah meningkatkan jualan perniagaan saya berkemungkinan besar para pelanggan membeli buah-buahan dengan kadar yang banyak untuk dibuat bekalan sepanjang tempoh PKPB.
“Oleh itu, saya tidak khuatir sekiranya PKPB dilaksanakan semula kerana ia akan meningkatkan jualan perniagaan saya,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula pada hari Rabu iaitu 13 Januari hingga 26 Januari 2021.
Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.
-ii-