
Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)
SEREMBAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Kebenaran yang diberikan kerajaan untuk peniaga kecil di Pasar Sari Den, di sini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa adalah rahmat tidak terhingga kerana punca pendapatan mereka tidak tertutup.
Bagi peniaga ikan air tawar segar, Mazlan Shaari, 46, beliau berasa lega apabila peniaga kecil seperti beliau dibenarkan untuk berniaga seperti biasa.
“Saya merasa lega dapat meneruskan perniagaan ikan air tawar di pasar ini, namun masih tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi operasi standard (SOP) dengan menggunakan pelitup muka, melalui aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter,” ujarnya.
Menurut salah seorang peniaga, Siti Hajar Buang, 50, beliau turut bersyukur diberi kebenaran berniaga, sekali gus mengembalikan kestabilan ekonomi yang sebelum ini terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19.
“Saya tidak kisah apa sahaja syarat dan peraturan yang ditetapkan asalkan boleh berniaga seperti biasa dan mencari hasil untuk kelangsungan hidup,” katanya
Pasar Sari Den di Kampung Siliau Baharu, Rantau dibuka setiap pagi Selasa hasil kerjasama komuniti kampung tersebut, dengan tedapat pelbagai jenis jualan seperti sayur-sayuran dan pebagai hasil tangkapan air tawar nelayan tempatan.
-AK