
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Para peniaga menyambut baik langkah kerajaan membenarkan semua sektor atau aktiviti perniagaan beroperasi sehingga pukul 10 malam bermula semalam.
Menurut peniaga kedai runcit, Azizah Arifin, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini membawa sinar kepada peniagaan beliau yang selama ini dikunjungi para pelanggan di antara 8 hingga 11 malam.
“Saya sangat berterima kasih dengan kerajaan kerana mendengar keluhan dan pandangan para peniaga.
“Pelaksanaan ini bukan sahaja membantu para peniaga seperti saya tetapi juga memudahkan para pelanggan yang pulang kerja lewat untuk membeli makanan atau keperluan harian,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini semalam.
Seorang pengusaha kedai cermin mata Faizal Baharom, berkata sebelum ini beliau sering ditanya para pelanggan bila kedainya akan mula beroperasi.
“Saya bersyukur kerajaan membenarkan kedai cermin mata beroperasi semula yang mana ia memudahkan para pelanggan yang mempunyai masalah penglihatan untuk datang membuat cermin mata yang diperlukan.
“Para pelanggan yang ingin datang ke kedai perlu mengikut tarikh temujanji yang telah ditetapkan dan mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, Sin Hup Huat yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Kuala Sungai Padang menjelaskan walaupun kerajaan membenarkan premis perniagaan beroperasi sehingga 10 malam, beliau tetap akan beroperasi sehingga pukul 8 malam seperti arahan sebelumnya.
“Kawasan di sekitar ini kebanyakannya didiami para penduduk yang bekerja di kampung dan mereka akan membeli barang-barang keperluan harian pada waktu tengah hari dan petang.
“Majoriti para penduduk kampung tidak akan keluar pada waktu malam demi menjaga keselamatan dan kesihatan ahli keluarga mereka,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan membenarkan waktu operasi beberapa sektor perniagaan antaranya kedai runcit dan serbaneka, farmasi, kedai dobi serta kedai cermin mata dilanjutkan hingga pukul 10 malam, bermula 29 Januari 2021.
Keseragaman waktu operasi itu dapat memudahkan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai.
-NI-