
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Peningkatan Kes COVID-19 dalam komuniti saban hari menyaksikan negara sekali lagi berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini di negeri ini sehingga 4 Februari 2021 sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu.
Hasil tinjauan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu mendapati peniaga-peniaga di sekitar daerah ini lebih bersedia berdepan dengan PKP 2.0 pada kali ini.
Peniaga kedai runcit, Roslida Shamsudin, 34, berkata PKP 2.0 kali ini, beliau telah membuat keputusan untuk mengambil inisiatif menjalankan perniagaan secara atas talian sebagaimana yang telah dilaksanakan pada PKP yang lalu.
“Kaedah ini paling sesuai dan selamat berikutan peningkatan kes positif dalam kalangan komuniti saban hari di daerah dan negeri ini.

Peniaga kedai runcit, Roslida Shamsudin, 34 menggunapakai pengalaman PKP terdahulu dalam uruskan peniagaan sepanjang tempoh PKP 2.0 kali ini.
“Saya sentiasa berdoa agar wabak ini dapat diputuskan segera dan kerjasama semua pihak amatlah diharapkan agar jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dalam komuniti dan dalam masa yang sama, kami sebagai peniaga dapat meneruskan perniagaan seperti sediakala,” katanya ketika ditemui pagi tadi.
Bagi pengusaha restoran, Siti Hajar Nashuha Ahmad, 25, beliau telah menimba pengalaman PKP pertama dahulu dengan mengambil inisiatif menjual makanan atas talian serta menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan.
“Sebagai peniaga juga kami bimbang tahap kesihatan pelanggan yang hadir ke premis perniagaan memandangkan peningkatan kes positif sejak akhir-akhir ini.

Pengusaha restoran, Siti Hajar Nashuha Ahmad, 25, ambil inisiatif menjual makanan atas secara talian serta menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP.
“Biarpun pendapatan berkurang semasa tempoh PKP, namun sebagai peniaga kami akur ini adalah langkah terbaik yang diambil oleh pihak kerajaan bagi memutuskan penularan COVID-19.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana tidak pernah meminggirkan peniaga dan pelbagai inisiatif diambil oleh pihak kerajaan agar peniaga bangkit kembali dan saya salah seorang penerima Bantuan Geran Khas Prihatin,” katanya.
Tambah Siti Hajar, hebahan daripada pihak Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu sedikit sebanyak memberi input kepada masyarakat di sini mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKP, PKPB, PKPP dan proklamasi darurat.
-ii-