
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Nur Shahida Che Rus (Kedah)
SUNGAI PETANI, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Pengasas sebuah syarikat pembekal kek coklat lembab Surico Malaysia Faiz Johari, 29, mengambil inisiatif menjenamakan semula syarikatnya yang telah bertapak sejak 22 tahun dahulu bagi membekalkan kek tersebut ke seluruh pasaran tempatan.
Menurut Faiz, perniagaan syarikat tersebut dibuat secara dalam talian iaitu melalui sistem ejen, di mana pada awal permulaan hanya 30 orang ejen yang diambil.
“Pelbagai strategi dibuat dalam syarikat iaitu dari segi pemasaran, sesi bimbingan sebulan empat kali dan kami akan jelajah ke seluruh pelosok negeri untuk mempromosikan produk syarikat dan kini kami memiliki seramai 700 ahli berdaftar seluruh negara.

Pekerja-pekerja sedang menyiapkan kek coklat lembap yang telah ditempah pelanggan secara dalam talian.
“Keistimewaan yang terdapat dalam kek coklat lembap ini adalah kerana coklatnya yang diimport dari luar negara iaitu Jerman dan mempunyai kombinasi tiga rasa iaitu rasa lemak, pahit dan manis maka kek ini nampak sempurna sebagai sebijik kek coklat lembap,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini baru-baru ini.
Faiz memaklumkan, antara rahsia kejayaan syarikat ini adalah sesi bimbingan yang diadakan memandangkan ramai dalam kalangan ejennya tidak mempunyai pengalaman berniaga.
“Ramai ejen syarikat yang sebelum ini tidak pernah ada pengalaman berniaga dan sebagai pengasas menjadi tanggungjawab saya untuk memperturunkan ilmu yang ada untuk bersama-sana membantu anak negeri yang memerlukan pekerjaan dan bagi menaikkan lagi ekonomi negeri Kedah.
“Setakat ini tiada lagi bantuan yang kami terima daripada mana-mana pihak dan bantuan yang diminta masih dalam proses namun kami berjaya mendapatkan sebuah kilang yang dijangka siap awal Mac nanti di mana kilang tersebut didaftarkan bawah Perniagan Kecil dan Sederhana (SME),” katanya.
-SH