
Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 100 pelajar ceria kerana dapat menyertai Program ‘Jom Bojeng Kembali ke Sekolah’ yang dijalankan selama tiga hari bermula Ahad lalu dan berakhir semalam.
Menurut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Tijah/Gong Kuin Zainal Lasin, antara objektif program ini adalah untuk memberi kemudahan kepada para pelajar yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus itu melibatkan empat DUN iaitu Tepuh, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Buluh Gading.
“Program ini diselaraskan di lima mukim Tepuh iaitu JPKK Kampung Pak Tijah, Kampung Tok Jembal, Kampung Kubang Badak, Kampung Jati dan Kampung Sepertik Rendang.
“Program jom bojeng yang bermaksud perkhidmatan menggunting rambut ini dilihat dapat membantu segelintir keluarga yang tidak berkemampuan kerana mempunyai anak yang ramai bersekolah dalam satu-satu masa bagi sesebuah isi rumah,” katanya ketika ditemu ramah, di sini semalam.
Sementara itu, menurut peserta program, Muhammad Alif Naufal Mazlam, 9, berkata dia sangat gembira dapat menyertai program bojeng tersebut kerana bukan sahaja dapat menggunting rambut bersama-sama kawannya tetapi dalam masa yang sama tidak dikenakan sebarang bayaran.
“Saya berasa seronok kerana bukan sahaja dapat menggunting rambut secara percuma malahan dapat juga bersama-sama rakan-rakan menggunting rambut bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi pembukaan sekolah tidak lama lagi,” katanya.
Bagi Ibrahim Muhammad, 59, bapa kepada salah seorang pelajar berkata anaknya begitu gembira apabila dapat bersama kawan-kawannya yang lain menyertai program berkenaan.
“Anak saya begitu teruja apabila dapat menyertai program bojeng ini kerana program ini akan membantu menaikkan semangat mereka untuk kembali ke sekolah sekali gus dapat meningkatkan penampilan diri mereka,” katanya ketika ditemuramah semasa sesi program berkenaan.
Sementara itu, Mohamad Azfar Nordan, 25, yang merupakan seorang tukang gunting rambut berkata beliau bersyukur dengan kewujudan program sebegini kerana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi sumber pendapatan harian penggunting rambut di sekitar kawasan ini.

Mohamad Azfar Nordan, 25, berkata program ini dapat membantu usahawan kedai gunting rambut sepertinya menjana ekonomi.
“Program ini amat sesuai diadakan sebagai aktiviti tahunan dan boleh membantu usahawan kedai gunting rambut seperti kami yang terkesan sumber pendapatan seharian akibat pandemik COVID-19,” katanya.
-ii-