Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Program KPN Bantu Golongan Terkesan Akibat COVID-19

By 7 Januari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran Johari/Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Program Kembara Prihatin Negara (KPN) merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bermula tahun ini melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap negeri dan daerah di seluruh negara.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir Mohd Fazil Wahab, berkata program ini menyasarkan golongan yang terjejas pendapatan seperti golongan ibu tunggal, miskin tegar dan keluarga yang terjejas pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19.

“Program ini dilihat mampu meringankan sedikit bebanan kepada golongan berkenaan kerana majoriti penerima sumbangan tersebut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini,” katanya ketika menyerahkan bantuan kepada 150 penerima bantuan JKM, baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil ketika memberi bantuan dibantu oleh Pegawai Penerangan Kuala Nerus, Emylia Lot.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil ketika memberi bantuan.

Beliau berkata, objektif utama KPN adalah bertujuan untuk menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memenuhi keperluan dan ekspektasi rakyat.

“Bukan itu sahaja, bantuan ini diberikan secara berperingkat dan kita jangkakan akan meningkatkan kerjasama strategik di dalam sektor korporat dan penglibatan bersama masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, JKM Daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Nerus telah menghantar bantuan sekali beri berupa bantuan bekalan makanan asas seperti, beras, susu, minyak, bihun dan lain-lain yang bernilai anggaran sebanyak RM100 kepada 500 orang penerima yang layak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Fazil turut mengharapkan sumbangan barangan keperluan harian ini dapat diberikan secara berkala pada setiap bulan bagi memudahkan setiap isi rumah yang layak untuk mendapatkan bekalan makanan asas dengan mudah.

“Segelintir penerima bantuan ini tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk keluar membeli barangan asas di kedai.

“Jika program ini diteruskan pada setiap bulan, ia memudahkan isi rumah berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan asas kerana pihak JKM menghantar sendiri kepada penerima di rumah,” katanya.

 

Yusuf Abdulllah (empat dari kiri) menerima sumbangan barangan keperluan asas.

Yusuf Abdulllah (empat dari kiri) menerima sumbangan barangan keperluan asas.

Bagi penerima bantuan, Yusuf Abdullah, 59, beliau berterima kasih kerana ketika ini beliau sangat memerlukan bantuan bagi memastikan keluarganya mendapat bekalan makanan yang berterusan.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak JKM serta Penyelaras DUN Seberang Takir kerana bersikap cakna dan bertindak segera bagi memastikan golongan seperti kami tidak ketinggalan dalam mendapatkan bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemuramah di rumahnya, baru-baru ini.

 

Puan Asma antara penerima bantuan dalam Program Kembara Prihatin Negara.

Puan Asma antara penerima bantuan dalam Program Kembara Prihatin Negara.

 

Penerima lain, Asmaa Atifah Mohd Rawi, 43, berkata beliau berharap untuk mendapat bantuan kerana ketika ini beliau sedang menyara lima orang anak dan dua daripadanya baru sahaja disahkan mengalami masalah kesihatan yang memerlukan bantuan kewangan yang banyak setiap bulan.

“Saya adalah ibu tunggal dan tidak bekerja dan keadaan ini menyukarkan saya untuk meneruskan kehidupan seharian tambahan pula anak saya yang berusia 12 tahun baru sahaja disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang lagi berumur sembilan tahun kini menghidapi sakit berkaitan darah.

“Oleh itu, saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diterima terutamanya pelbagai bantuan yang diterima setiap bulan daripada pihak JKM,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda