Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Program Wilayah Persekutuan Bermunajat Antara Pengisian Sempena Hari Wilayah

By 28 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: JAWI

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menganjurkan program Wilayah Persekutuan Bermunajat pada Sabtu ini selepas solat maghrib.

JAWI dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu antara beberapa program lain sempena Hari Wilayah Persekutuan yang melibatkan penyertaan masjid dan institusi pendidikan Islam di bawah selian jabatan itu dan ia diadakan secara dalam talian selaras dengan norma baharu.

Menurutnya, program Wilayah Persekutuan Bermunajat dari Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Tuanku Abdul Halim di sini akan diadakan secara dalam talian serta bersiaran langsung melalui Facebook rasmi JAWI.

“Turut dianjurkan ialah program Yasin Hour dalam talian serentak melibatkan semua institusi pendidikan Islam di bawah seliaan JAWI pada 9 pagi dan 3 petang esok,” menurut kenyataan itu.

JAWI turut memaklumkan pada Ahad ini (31 Januari) pukul 9 pagi akan berlangsung Forum Perdana Ehwal Islam dalam talian dengan tajuk ‘Masyarakat Cakna, Wilayah Sejahtera’ yang membariskan ahli panel tersohor tanah air dan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi JAWI.

Selain itu, Forum Perdana Ehwal Islam di lapan masjid selama lapan hari berturut-turut di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 1 hingga 8 Februari, pukul 9 malam, juga dijalankan secara dalam talian.

Sementara itu, pada 5 Februari pula diadakan Khutbah Jumaat Khas bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ yang akan dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

”Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan serta memelihara warga Wilayah Persekutuan dan negara Malaysia amnya daripada segala bencana dan wabak yang melanda,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda