
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 telah mula dibuat pada 21 Januari yang lalu bagi membantu meringankan beban rakyat terutama golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19.
Menurut anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Zaliha Abdul Rahman, 61, sebagai ibu tunggal yang menyara lima orang anak beliau menerima bantuan sebanyak RM500 untuk kategori bujang.
“Saya amat berharap agar kerajaan dapat mewujudkan kategori khas untuk ibu atau bapa tunggal pada masa akan datang.
“Kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh tentang bantuan yang bersesuaian untuk membantu golongan seperti kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dalam membantu golongan-golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik ini.
Sementara itu, Sakinah Khairul Anuar, 22, berasa gembira dan bersyukur dengan bantuan RM1,000 yang diterimanya dan akan menggunakan wang bantuan tersebut untuk persiapan sekolah anak-anak.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin dengan golongan B40 seperti saya.
“Langkah kerajaan memperuntukkan BPN 2.0 dalam usaha membantu rakyat daripada pelbagai peringkat ketika pandemik COVID-19 melanda Negara adalah satu tindakan yang tepat,” ujarnya.
BPN 2.0 merupakan sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2020 bagi membantu rakyat yang terjejas ekonominya akibat pandemik COVID-19.
Pembayaran fasa kedua BPN 2.0 melibatkan 11.06 juta penerima merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada serta 460,000 penerima baharu dengan jumlah bayaran keseluruhan RM2.38 bilion.
-NI-