
Laporan/foto: Zulkifli Othman/RELA Dungun (Dungun)
DUNGUN, 14 Jan (Malaysiaaktif) ā Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Dungun melaksanakan misi bantuan pembersihan pasca banjir di kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda daerah ini minggu lalu.
Pegawai RELA Daerah Dungun Mohd Syuhari Abdan, ketika dihubungi semalam memaklumkan inisiatif ini merupakan satu tanggungjawab dan keprihatinan pihak pengurusan dan anggota RELA kepada mangsa-mangsa banjir dengan semangat moto yang dibawa jabatan ini iaitu āSetia Berbaktiā.

Taklimat program daripada Pegawai RELA Daerah Dungun dan Pengerusi MPKK Pasir Raja kepada semua anggota RELA yang terlibat dengan gotong-royong.
“Gotong-royong ini melibatkan anggota RELA dan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja dan dibahagikan kepada empat lokasi yang dikenalpasti oleh pengerusi JPKK iaitu Dataran Kejat, Balairaya Kampung Pasir Raja, Masjid Kampung Pasir Raja dan Pondok Polis Pasir Raja.
“Selain itu, penyampaian sumbangan berbentuk pakaian terpakai telah diserahkan kepada Pengerusi JPKK Pasir Raja untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terlibat di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Raja,” katanya.
Mohd Syuhari berkata, RELA Dungun turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JPKK Pasir Raja, Anggota RELA Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan RELA Dungun kerana memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang program berlangsung.
“Terima kasih juga kepada pihak Pusat Latihan RELA Wilayah Timur (PLRWT) di Hulu Terengganu kerana menghantar bantuan pegawai dan barang logistik sepertiĀ pancutan air bagi melancarkan lagi proses pembersihan,” tambahnya.
Katanya, aktiviti sebegini bukan sahaja dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim sesama warga RELA dan penduduk kampung setempat, bahkan dapat melahirkan perasaan simpati terutamanya kepada penduduk dan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.

Gotong Royong melibatkan anggota RELA dan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja, Dungun.
“Pihak RELA Dungun akan meneruskan program sebegini pada masa akan datang bagi menyuntik semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat setempat dan meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani mengucapkan terima kasih kepada pasukan RELA Daerah Dungun kerana sudi turun padang bagi membantu mereka.

Pegawai Rela Daerah Dungun, Mohd Syuhari Abdan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan bencana banjir kepada Pengerusi JPKK Kampung Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani bagi kegunaan penduduk yang terjejas.
“Sudah pasti bantuan yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban kami di sini yang sangat terkesan dengan bencana banjir pada kali ini yang bukan sahaja melibatkan kemusnahan tempat kediaman malahan melibatkan kemudahan asas yang ada di kampung kami seperti masjid dan balai raya.
“Semoga usaha yang dilaksanakan pihak RELA dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
-ii-