
Laporan/foto: Wee Kim Been (Pasir Mas)
PASIR MAS, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Tebing sungai di sekitar Perkampungan Kasar di sini runtuh sejak kelmarin.
Penghulu Mukim Kasar Wan Mohd Rudin Wan Ab Ghani, 57, berharap agar pihak kerajaan negeri serta persekutuan dapat mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan fenomena runtuhan tebing sungai di kawasan sekitar daripada berterusan.
“Runtuhan ini berlaku hampir 20 kaki persegi dari laluan utama ke pekan Pasir Mas, ditelan arus deras ke dasar sungai Kelantan.
“Sebilangan besar penduduk di kawasan sekitar mengharapkan agar pihak Kerajaan dapat membina benteng disekitar tebing sungai berkenaan,” katanya.
Mohd Sabri Awang, 60, berkata situasi ini lebih membimbangkan dengan keadaan semasa hujan monson timur laut yang masih berlarutan sehingga kini dan kejadian hakisan tersebut semakin melebar menghampiri ke jalan utama di kampung tersebut.
Sementara itu menurut Kheng Eng Hin, 53, yang menetap di kampung berkenaan menyifatkan keadaan ini jika tidak diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa, pasti menjadi semakin serius dengan kerugian struktur penempatan penduduk dan bahaya kepada orang ramai.
“Pembinaan benteng di pesisir tebing sungai ini dapat menyelamatkan hakisan tebing dari berterusan malah mampu mewujudkan suatu landskap yang cukup menarik di kawasan sekitar.
“Selain menjadi sumber pembiakan hidupan sungai yang asli dan dihiasi dengan landskap panorama untuk tarikan pelancong dari dalam dan luar Kelantan, ia sekali gus akan menjadi sumber rezeki kepada penduduk sekitar melalui kaedah promosi Waterfront di negeri Cik Siti Wan Kembang,” katanya.
-NAZ