Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Sekolah Patuhi SOP Edar Buku Teks Elak COVID-19

By 27 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Abd Halim Jumat (Jelebu)

JELEBU, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Jelebu, di sini mengambil berat saranan kerajaan bagi mengikuti sepenuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memutuskan rangkaian COVID-19.

Pengetuanya Hashim Osman, berkata kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara maya telah menjadi alternatif kepada pendidik dan pelajar dalam menempuh sesi persekolahan ketika pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan, namun penggunaan buku teks tetap diperlukan untuk memudahkan pelajar memahami serta menguasai mata pelajaran.

“Pihak sekolah sentiasa mengikut dengan teliti SOP dalam melaksanakan proses pemulangan dan pengagihan buku teks kepada pelajar sekolah di mana kami menyediakan jadual pemulangan dan pengagihan buku teks serta persiapan yang lain seperti bilik menunggu pelajar dalam usaha memastikan SOP terutamanya aspek penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dipatuhi oleh setiap pelajar, guru atau ibu bapa yang memasuki kawasan sekolah.

“Buku teks merupakan aset kerajaan di mana setiap pelajar perlu bertanggungjawab menjaganya agar ia berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan untuk tempoh masa yang lebih lama” katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang pelajar Nur Afiqah Damia Mohd Aizil, 15, berkata proses pemulangan dan agihan buku yang beliau hadir pada hari ini sangat baik.

“Proses hari ini sangat baik dan saya berasa selamat kerana sekolah menitik berat SOP ketika berurusan,” ujarnya.

Manakala, menurut Nur Arnizureen Ismail, 15, beliau mematuhi prosedur SOP di sekolah dengan hasrat untuk mengelakkan dirinya malah dapat melindungi keluarga daripada terkena jangkitan virus berbahaya tersebut.

-AK

Tinggalkan komen anda