
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sembilan kluster baharu COVID-19, dengan empat daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, dua perjumpaan keluarga, satu dari majlis perkahwinan, manakala selebihnya melibatkan saringan kontak rapat dan saringan individu bergejala.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3,631 kes positif baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia kini 165,371 kes.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan tujuh merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala penularan dalam negara adalah 3,624 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini semalam.
Menurutnya kes aktif dengan kebolehkjangkitan COVID-19 pula adalah 39,464 kes, dan ketika ini 238 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Kes sembuh COVID-19 pula ialah sebanyak 2,944 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini ialah 125,288 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 lagi pertambahan kes kematian akibat wabak itu melibatkan 12 warganegara dan dua warga asing iaitu tujuh kes di Selangor, dua di Johor serta masing-masing satu kes di Perak, Sarawak, Kedah, Kelantan dan Labuan.
— BERNAMA