Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SRI Al-Hafidz Bandar Sierra Agih Buku Secara Pandu Lalu

By 21 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Hafidz Bandar Sierra mengadakan program agihan buku secara pandu lalu kepada muridnya bagi memudahkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada murid sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Pengetua sekolah tersebut Salman Mohamad Amin, menjelaskan inisiatif tersebut diambil bagi memudahkan ibu bapa atau pelajar memperolehi buku teks serta buku aktiviti untuk kegunaan murid pada sesi persekolahan tahun ini.

“Pengagihan secara pandu lalu ini merupakan kali kedua dilakukan di sekolah tersebut dan terdapat beberapa sekolah di sekitar daerah sini turut mengguna pakai kaedah tersebut bagi meminimumkan kehadiran ibu bapa, penjaga atau murid di sekitar kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini kelmarin.

Menurut Salman, pihak pengurusan sekolah telah menyediakan pelan lokasi pengagihan buku teks kepada waris pelajar beserta carta alir pengagihan bagi melancarkan proses pengagihan tersebut.

Para guru diletakkan di bahagian masing-masing bagi memudahkan urusan agihan.

Para guru diletakkan di bahagian masing-masing bagi memudahkan urusan agihan.

“Pelan itu diberikan melalui aplikasi WhatsApp dan waris hanya perlu menulis nama pelajar serta nama kelas pada sekeping kertas dan menunjukkannya apabila sampai di lokasi yang telah ditentukan dengan tujuan memudahkan guru memberi buku teks mengikut SOP yang telah ditetapkan,

“Sepanjang program ini berjalan kesemua ibu bapa memberikan komitmen yang baik dengan mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dalam menjayakan program tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Penyelaras Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Ima Kasmitah Bustaman, berkata penyediaan lokasi pengagihan buku teks, pada kali ini akan dibuat di koridor sekolah berdekatan parkir kereta bagi memudahkan guru kelas menyerahkan buku-buku kepada ibu bapa di lokasi yang ditetapkan.

“Oleh itu, ibu bapa tidak perlu berbaris panjang dan menunggu lama,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda