
Laporan/foto: Mohamad Zairin Mohamad Zin (Petaling)
SERDANG, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 75 orang sukarelawan misi bantuan banjir Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berganding bahu memasang 700 buah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS 2.0 semalam yang mana sukarelawan ini membabitkan 60 pelajar dan 15 staf.
“Pasukan sukarelawan pelajar UPM ini sepatutnya bergerak ke Pahang petang kelmarin bagi misi bantuan banjir di kawasan Chenor dan Sungai Lembing, namun demikian rancangan misi tersebut terpaksa dibatalkan berikutan arahan terkini yang tidak membenarkan sukarelawan dari negeri PKP terlibat bergerak merentas negeri,” kata Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM Nuruliman Ibrahim.
Ketika mencari maklumat lokasi banjir di daerah Hulu Selangor dan Kuala Selangor bagi menggantikan misi di Pahang, pihak Unit Pengurusan Bencana (UPB) Negeri Selangor memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk bantuan memandangkan semua kawasan banjir di negeri Selangor telahpun diselesaikan sepenuhnya.
“Sehubungan itu pihak UPB Negeri Selangor mencadangkan sukarelawan pelajar UPM untuk mencuba pengalaman baharu dalam membantu pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan penempatan baharu bagi pesakit COVID-19 yang semakin meningkat bilangannya,” jelas beliau.
Kerja pemasangan katil-katil bertingkat bagi menempatkan pesakit COVID-19 bermula pada pukul 9 pagi dan selesai sekitar 6 petang.
PKRC 2.0 MAEPS ini telah diaktifkan semula pada 9 Disember lalu bagi menempatkan pesakit COVID-19 warganegara asing yang berisiko rendah di sini, dan juga ekoran pertambahan kes pada awal bulan ini.
-NAZ