
Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Norlida Daud (Seremban)
SEREMBAN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 63 orang murid daripada keluarga kategori B40 Sekolah Kebangsaan (SK) Mambau telah menerima bantuan persekolahan hasil sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Amal Bilal Muda, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kutipan derma melalui media sosial baru-baru ini.
Yang Dipertua PIBG SK Mambau Norlida Daud, berkata bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima khususnya dalam menyediakan keperluan sekolah buat anak-anak mereka, tambahan dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Walaupun sesi persekolahan tidak dapat diteruskan secara bersemuka, namun begitu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tetap diteruskan secara maya dan diharapkan sedikit bantuan ini dapat dijadikan penyuntik semangat buat mereka,” katanya yang ditemui sempena majlis sumbangan, di sini baru-baru ini.
Menurut Pengetua SK Mambau Zuridah Hamzah, pihaknya melalui Khidmat Amal Bilal Muda setiap tahun akan memberi sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan khasnya pelajar sekolah tersebut.
“Kami sentiasa memberi fokus kepada golongan kurang berkemampuan yang ingin melihat anak-anak meneruskan persekolahan dengan sempurna,” ujarnya.
Manakala bapa kepada salah seorang pelajar sekolah tersebut, Rafi’ee Md Johar, menzahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan berkenaan.
“Memandangkan musim PKP ini, sedikit sebanyak sumber pendapatan saya telah hilang, saya tidak mampu untuk membeli kelengkapan sekolah baharu, jadi dengan adanya bantuan ini, saya sangat bersyukur kerana dapat mengurangkan beban,” katanya.
-AK