
Laporan/foto: Mastika Hablum (Melaka)
MELAKA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 470 pelajar daripada 50 buah sekolah rendah dalam Parlimen Jasin, menerima bantuan bernilai RM150 setiap orang dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Peringkat Parlimen Jasin sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Menurut Pengurus Besar TAPEM Mustafa Musa, bantuan meliputi beg, pakaian, stokin, kasut sekolah dan alat tulis ini boleh dituntut dalam tempoh dua bulan melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan negeri.
“Program ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan rakyat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi sesi Akademik 2021,” katanya ketika menyampaikan bantuan tersebut, di sini baru-baru ini.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ghazale Muhammad, telah merasmikan majlis tersebut dan sempat mengingatkan semua yang hadir untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Terima kasih atas kehadiran ibu atau bapa mewakili anak-anak dalam majlis ini dan saya menyeru agar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan teruskan usaha, tanamkan tekad, bina cita-cita, kuatkan semangat dan kukuhkan iltizam untuk terus memahat kejayaan yang lebih cemerlang dalam apa juga bidang yang dilakukan.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM750,000 bagi produk TAPEM sejak dari Tahun 2000 hingga kini yang bertujuan untuk membantu anak kelahiran Melaka terutamanya Golongan B40 menerima manfaat ini untuk menyambung pengajian dan memastikan tiada istilah keciciran,” ujar Ghazale.
-KN-