
Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Sambutan ulang tahun Bandaraya Kota Kinabalu ke-21 akan diadakan secara dalam talian pada 2 Februari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip, menyatakan beberapa acara telah diatur dengan amalan norma baharu seperti majlis tahlil serta doa kesyukuran dan pertandingan menari solo secara dalam talian.
“Disebabkan masalah pandemik COVID-19, kita tidak akan membuat acara sambutan besar-besaran, bagaimanapun sesi libat urus bersama-sama masyarakat tetap diteruskan secara virtual pada 2 Februari ini.
“Acara sambutan akan dimulai dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran yang kita jalankan secara dalam talian melibatkan warga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Selain itu, bagi menggalakkan penglibatan golongan muda DBKK juga menganjurkan pertandingan menari solo dan akan diadili secara dalam talian,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat pemakluman pelantikan beliau sebagai Mayor DBKK yang baharu terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini baru-baru ini.
Noorliza yang juga Mayor DBKK yang keenam memulakan tugas pada 28 Disember 2020 merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut menggantikan Mayor DBKK kelima Datuk Nordin Siman, yang bersara wajib.
Dalam pada itu, Noorliza turut menjelaskan penggantungan kutipan caj letak kereta di ibu negeri bermula 13 Januari yang lalu selaras kepada arahan semasa kerajaan negeri.
“Kutipan caj letak kereta akan mula dikuatkuasakan pada 5 Februari 2021 di seluruh kawasan Kota Kinabalu dan sebarang perubahan adalah tertakluk kepada arahan semasa.
“Mengenai kadar pematuhan premis di pusat bandaraya terhadap Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, sehingga kini masih belum menerima sebarang aduan terhadap pelanggaran Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Malah, DBKK bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta para pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sentiasa membuat pemantauan pematuhan SOP secara konsisten di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
-SH