
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 3,318 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 258,306.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau berkata 3,311 kes adalah penularan tempatan melibatkan 1,673 warga tempatan dan 1,638 bukan warga negara manakala tujuh kes lagi merupakan kes import membabitkan tiga warga tempatan dan empat warga asing.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 51,579 kes manakala dalam tempoh sama 17 kes kematian melibatkan warga tempatan dilaporkan, menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 953 kes,” katanya semalam.
Beliau berkata terdapat 3,505 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia adalah 205,774 kes.
Dr Noor Hisham berkata 258 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 119 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu 1,214 kes diikuti Johor (742 kes) dan Kuala Lumpur (374).
Ia diikuti Kedah (188 kes); Pulau Pinang (149); Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 118 kes; Perak (99); Sarawak (83); Kelantan (79); Terengganu (72); Melaka (45); Pahang (30); Putrajaya (enam); dan Labuan satu kes.
— BERNAMA