
Laporan/foto: Nor Emylia Lot /Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Rata-rata pengusaha inap desa kini sedang bergelut untuk terus bertahan demi kelangsungan perniagaan dan berharap kerajaan tidak melarang pergerakan rentas negeri dan rentas daerah bagi membolehkan aktiviti pelancongan domestik kembali aktif.
Pengurus Inap Desa Teluk Ketapang, Kuala Nerus Mohd Hasli Mat Ali, berkata penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada sektor pelancongan, akhirnya mencetuskan kesan buruk kepada industri inap desa khususnya di negeri ini.
“Para pengusaha inap desa mula mengalami kesulitan bermula Mac tahun lepas dan kembali rancak apabila PKP dibatalkan berikutan orang ramai dibolehkan merentas daerah dan negeri.
“Meskipun begitu, bermula 13 Januari lalu, tempahan berkurangan, manakala pembatalan meningkat pada saat akhir susulan pelaksanaan PKP 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini,” katanya yang ditemui, di sini.

Mohd Hasli berharap orang ramai dibenarkan rentas daerah dan negeri bagi memulihkan kembali sektor pelancongan inap desa di sini.
Bagi Setiausaha Penyelaras Kampungstay di situ Mohd Rosli Awang, berkata kebimbangan orang ramai mengenai penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP menyebabkan ramai orang membatalkan tempahan.
“Kesannya memang teruk, sekarang ini tempahan amat kurang, boleh dikatakan tidak ada sejak PKP diumumkan Januari lalu termasuk tempahan untuk cuti persekolahan dan sambutan Aidilfitri yang akan datang susulan larangan rentas sempadan yang dikuatkuasakan.
“Bagi menghadapi persekitaran tidak dijangka pada masa hadapan, berdasarkan perbincangan dalam persatuan dan rakan-rakan lain, pengusaha kini kena menukar strategik selagi kerajaan tidak membenarkan rentas sempadan kerana situasi kami hadapi sama seperti pengusaha hotel alami ketika ini,” katanya.
Tambah Mohd Rosli, beliau berkongsi pengalaman sebagai pengusaha inap desa, pelbagai inisiatif diambil dengan memberi harga menarik kepada petugas barisan hadapan dari luar yang bertugas di kawasan berhampiran penginapan disediakan untuk memilih menginap di tempatnya.
“Walaupun ketika ini pergerakan terbatas akibat COVID-19, situasi ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menawarkan kemudahan kepada pihak berkenaan yang sedikit sebanyak membantu meneruskan kelangsungan perniagaan.

Mohd Rosli berharap kerajaan memberikan sedikit bantuan kepada pengusaha-pengusaha inap desa yang terjejas agar sektor pelancongan ini bertahan sepanjang PKP.
“Memandangkan aktiviti ekonomi dan sosial belum dibuka sepenuhnya lagi, pengusaha boleh cuba menyediakan aktiviti dan pakej menarik yang boleh dilakukan penginap di unit masing-masing.
“Kalau ikutkan tempahan, contohnya pada awal tahun ini, majoriti 80 peratus pengusaha inap desa telah menerima tempahan daripada orang ramai tetapi sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0, majoriti tempahan dibatalkan disaat-saat akhir,” katanya.
Menurut Mohd Rosli, apa yang boleh dilakukan ketika ini hanyalah demi kelangsungan bagi meringankan komitmen bulanan.
“Saya jangka situasi sukar ini berlarutan sehingga tahun depan. Ini apabila para pengusaha tidak mendapat tempahan langsung atau sekadar 25 peratus saja berbanding sebelum ini yang menerima pelanggan setiap minggu.
“Oleh itu, saya mengharapkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) memberi keutamaan dan sedikit bantuan kepada pengusaha inap desa dan produk bersifat pelancongan di luar bandar.
“Itu sahaja harapan kami untuk bertahan dalam keadaan paling mencabar ini dan berharap peruntukan sekali beri itu dapat disalurkan terus oleh MOTAC kerana kami adalah pengusaha berdaftar dengan kementerian,” katanya.
-ii-