
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyasarkan untuk melatih 6,900 usahawan dari seluruh negara melalui 165 program latihan keusahawanan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Firdaus Azharuddin berkata sebanyak lima industri baharu akan turut diperkenalkan untuk membantu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka sekali gus dapat meningkatkan skala perniagaan khususnya dari segi kenaikan jualan.
Katanya lima industri baharu itu ialah penjagaan warga emas, sukan dan aktiviti lasak, pusat tuisyen, tadika dan khidmat pengasuh.
“Rentetan daripada situasi sukar yang dihadapi sejak 2020, INSKEN yakin melalui penganjuran program keusahawanan berpaksikan keberhasilan akan dapat memastikan objektif ini tercapai pada tahun 2021,” katanya pada sesi taklimat media mengenai Inisiatif Kelangsungan Usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana Sepanjang Pandemik COVID-19 yang diadakan secara maya hari ini.
Pada tahun lepas, sebanyak 15 industri terlibat dalam membimbing usahawan seperti spa, bengkel kereta, katering, jahitan dan inap desa.
Muhamad Firdaus berkata INSKEN bakal menerima peruntukan hampir RM12 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk latihan keusahawanan yang diadakan pada tahun ini.
Pada sesi taklimat tersebut, beliau berkata INSKEN telah melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan pada 2020 yang diadakan secara dalam talian dengan fokus utama untuk membantu usahawan kekal bertahan ketika pandemik COVID-19.
“Sebanyak 452 pekerjaan baharu telah dicipta dan lonjakan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM14.9 juta daripada program bimbingan selama empat bulan yang dikenali sebagai INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Peningkatan Perniagaan Bumiputera,” katanya.
Antara program lain yang turut diadakan pada tahun lepas ialah INSKEN Networking Session/Meet the Champion, INSKEN Business Training dan INSKEN Business Outreach.
— BERNAMA