
Laporan/foto: Muhammad Syafiq Saad/Syed Putera Syed Ambon (Padang Terap)
PADANG TERAP, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 38 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang mengambil bahagian menderma darah di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, terdiri daripada 26 anggota tetap dan 12 orang pegawai bomba bantuan.
Menurut Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, program yang diadakan buat kali pertama ini bertujuan membantu pihak Tabung Darah di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi menampung kekurangan darah dihospital tersebut.
“Program ini bertujuan memupuk dan memberi kesedaran kepada setiap anggota bomba pada semua peringkat dan orang awam betapa pentingnya menderma darah kepada yang memerlukan terutama dalam musim-musim perayaan,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Azahari turut menasihatkan orang awam supaya elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka pada musim kemarau ini.
“Kes-kes kebakaran hutan yang banyak pada tahun lepas disebabkan oleh pembakaran secara terbuka seharusnya dijadikan ikhtibar dan pengajaran, di mana pembakaran yang tidak dikawal akan menyebabkan bencana jerebu yang teruk dan menganggu kesihatan awam.
“Pihak kami juga berharap kepada perokok agar lebih bertanggungjawab dan jangan sesuka hati membuang puntung rokok di tepi-tepi jalan kerana perbuatan tidak bertanggungjawab ini menjadi punca kepada kebakaran hutan pada musim kemarau.
“Seharusnya orang awam peka terhadap kebakaran hutan kerana hutan merupakan khazanah alam yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya.
-SH