
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Selepas tiga hari berturut-turut kes baharu COVID-19 mencecah angka melebihi 5,000, jumlah yang dicatat semalam menyaksikan sedikit penurunan dengan 4,214 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu juga kurang berbanding kes sembuh harian iaitu 4,280 menjadikan kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 170,329 atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini mencecah 219,173 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 48,074.
“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 4,205 kes,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, semalam.
Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,362 diikuti Johor (1,068 kes) dan Kuala Lumpur (702).
Ia diikuti Sabah (276 kes), Perak (193), Pulau Pinang (119), Sarawak (105), Negeri Sembilan (91), Melaka (85), Kelantan (57), Pahang (54), Kedah (47), Terengganu (38), Putrajaya (10) dan Labuan dengan tujuh kes.
Dr Noor Hisham berkata 316 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 137 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata 10 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian ialah 770.
— BERNAMA