
Laporan/foto: Zainudin Nurdin (Beluran)
BELURAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Beluran Zaidi Jamin, mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Beluran Nordin Daling, di pejabat beliau di sini, semalam.
Menurut Zaidi, kunjungan tersebut diadakan bertujuan bagi memaklumkan kehadiran beliau sebagai Pegawai Penerangan Daerah Beluran yang baharu menggantikan Alias Jaafar yang bertukar tugas ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bermula 15 Februari yang lalu.
Sepanjang pertemuan tersebut, Zaidi turut memberi taklimat ringkas mengenai peranan dan tanggungjawab Jabatan Penerangan (JaPen) terutama dalam menyampaikan maklumat semasa berkenaan dengan wabak COVID-19.
Menurut Zaidi, aktiviti utama JaPen pada ketika ini ialah hebahan melalui program Info on Wheels (IoW) yang dilaksanakan setiap hari dan meliputi semua kawasan berpenduduk diseluruh negeri termasuk di Beluran.
“Tujuan hebahan ini adalah untuk memberi maklumat tentang langkah pencegahan wabak COVID-19 serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan pandemik ini.
“Selain itu, kita turut menyeru kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan amalan norma baharu dalam kehidupan,” katanya.
Sebelum ini Zaidi merupakan Pegawai Perhubungan Awam di Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri Sabah di Kota Kinabalu selama enam tahun.
Turut hadir, Pembantu Penerangan Pejabat Penerangan Daerah Beluran Peter Kanua.
-SH