
Laporan/foto: Zaid Ahmad Zubid (Perlis)
PADANG BESAR, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar di seluruh negara dilihat membawa cabaran baharu kepada guru, ibu bapa dan pelajar yang terpaksa berdepan dengan pelbagai isu.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Beseri Nordin Abdullah, cabaran utama dalam melaksanakan PdPR adalah kehadiran pelajar secara dalam talian dilihat agak rendah dan kebanyakan dari mereka tidak memberikan fokus kerana suasana rumah yang tidak kondusif.
“Sebagai contoh, kehadiran murid kelas hadapan adalah seratus peratus tetapi kehadiran kelas belakang dilihat hanya lapan orang daripada jumlah keseluruhan kelas 19 orang yang mana menyebabkan murid yang pandai akan selamat dan yang lemah akan ketinggalan.
“Selain permasalahan berkaitan kehadiran, kesukaran mendapatkan perhatian pelajar selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastruktur dan capaian internet juga mampu menjejaskan sesi pembelajaran mereka terutamanya bagi murid yang akan menghadapi peperiksaan utama,” katanya yang ditemui di sekolah tersebut, di sini hari ini.

Cabaran utama dalam melaksanakan PdPR adalah kehadiran pelajar secara dalam talian dilihat agak rendah – Nordin Abdullah
Menurut Nordin, kesukaran pelajar untuk memahami pembelajaran secara dalam talian akan menyumbang kepada masalah keciciran dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Para pelajar sukar untuk memberi tumpuan berikutan gangguan daripada adik beradik yang sering membuat bising dan malah ada juga pelajar yang membuka dua paparan di komputer riba untuk bermain permainan dalam talian dan menonton YouTube,” katanya.
Shahnon Abdul Rahim, 37, seorang penjawat awam yang ditemui turut menyatakan kesukaran dan tekanan dalam memastikan anak-anak beliau tidak ketinggalan dalam mata pelajaran dan tugasan yang diberi oleh guru.
“Kekangan masa dan terpaksa berkongsi alat peranti bersama anak-anak yang lain sedikit sebanyak menyukarkan proses pembelajaran di rumah.
“Dalam keadaan sekarang, PdPR adalah kaedah terbaik bagi mengurangkan risiko namun cabarannya pula dari segi penggunaan peranti dan alatan terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai bersekolah,” ujarnya.
Namun begitu, masalah dan cabaran yang dihadapi ini telah menemui jalan penyelesaiannya apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa murid pra sekolah, tahun satu dan dua seluruh negara akan mula bersekolah pada 1 Mac manakala tahun tiga, empat, lima dan enam akan bermula pada 8 Mac 2021.
Bagi pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April ini, selepas tamat cuti pertengahan penggal.
-NI