
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Para peniaga pasar malam di daerah ini lega dan bersyukur apabila dibenarkan beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikemaskini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0).
Kemas kini SOP yang bertarikh 27 Jan lalu, membenarkan pasar malam beroperasi dari pukul 4 petang hingga 10 malam bagi membolehkan semua perniagaan beroperasi sehingga pukul 10 malam berbanding pukul 8 malam sebelum ini.
Peniaga yang menjual buah-buahan, Othman Yusuf, 59, berkata dengan pengumuman berkenaan ia sedikit melegakan beban yang ditanggung oleh keluarganya.
“Sebelum ini ramai para peniaga khususnya yang berniaga di pasar malam semakin tersepit apabila tidak dapat menjana sebarang pendapatan, apabila tidak dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan,” katanya ketika ditemuramah di sini, semalam.

Othman Yusuf, 59, berkata pengumuman pasar malam dibenarkan beroperasi memberi kelegaan kepada seisi keluarganya.
“Peniaga sudah pasti akan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan kerana mereka mahu mencari rezeki,” katanya dengan lebih lanjut.
Menurut peniaga yang menjual roti naan keju, Muhammad Umar, 41, beliau yang telah berniaga sejak 20 tahun yang lalu merasakan pengumuman berkenaan sebagai penyelamat kepada para peniaga pasar malam.
“Tiada beza kebenaran diberikan kepada penjaja makanan namun tidak kepada peniaga pasar malam. Kami juga mahu hidup dan terus bekerja untuk menyara kehidupan seharian,” katanya.
Menurut beliau, peniaga pasar malam juga menggunakan kaedah beli dan pulang yang sudah pasti tidak memberikan masalah.

Muhammad Umar, 41, mengharapkan para peniaga dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Bagi peniaga air di sini, Muhammad Syakir Mustafa, 17, berkata meskipun beliau kini masih bersekolah dan perlu menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi tetapi ia tidak menghalang beliau untuk berniaga di pasar malam.
“Apabila kerajaan mengumumkan pasar malam boleh beroperasi seperti biasa, saya begitu gembira kerana dapat membantu bapa berniaga di pasar malam,” katanya dengan nada teruja.

Muhammad Syakir Mustafa, 17, meskipun masih bersekolah tidak menghalang dirinya untuk membantu keluarga.
“Pada sebelah siang saya akan ke sekolah seperti rutin kebiasaan, manakala di sebelah malam pula membantu keluarga berniaga di pasar malam,” kata Syakir yang ketika ini merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, di sini bersyukur dengan kebenaran pembukaan operasi pasar malam.
Sebelum ini, pasar malam tidak dibenarkan beroperasi di bawah peraturan PKP, namun pasar biasa dibenarkan menjalankan perniagaan pada sebelah siang.
-ii-