
Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Aneta Ahmad (Dungun)
DUNGUN, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Daerah Dungun bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bantu Orang Susah Sokmo (BOSS) mengambil peluang menyantuni petugas barisan hadapan COVID-19 yang terdiri daripada 18 anggota keselamatan di hadapan Pondok Polis Rantau Abang, lokasi sekatan jalan raya sempadan Daerah Dungun dan Marang.
Seramai lapan orang rombongan yang diketuai oleh pengerusinya Raja Ibrahim Raja Manis, menyampaikan sumbangan makanan tengah hari kepada 18 orang petugas barisan hadapan yang diterima oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun mewakili anggota yang bertugas.

Petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugasan sekatan jalan raya di hadapan Pondok Polis Rantau Abang, Dungun.
Raja Ibrahim, berkata program tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih PERKIM Cawangan Daerah Dungun kepada barisan hadapan.
“Kami berharap dengan sumbangan yang tidak seberapa yang disalurkan berupa barangan keperluan makanan ini dapat menyuntik semangat kepada petugas barisan hadapan dalam membantu kerajaan mengawal pergerakan orang ramai semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini,” katanya.
“Program ini akan diperluaskan lagi ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Dungun di setiap lokasi sekatan jalan raya.
“Inisiatif PERKIM dan semua penyumbang terlibat tersebut adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada petugas barisan hadapan negara yang begitu komited menjalankan tugas bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui,di sini semalam.
Menurut Azmi Yakub, 52, Pegawai yang bertugas dari Pejabat Polis Daerah Dungun, bagi pihak Polis dan petugas barisan hadapan sangat menghargai setiap sumbangan yang diberikan dan turut mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang tidak putus-putus memberikan sumbangan serta kata-kata semangat buat mereka meneruskan tugasan.
“Sumbangan makanan ini memberi makna yang sangat besar kepada petugas kami yang mengalami kesukaran lantaran faktor pergerakan dan masa yang terhad sewaktu bertugas,” ujar Lans Koperal Zulhisyam Mohamad, 30, salah seorang petugas barisan hadapan.
-ii-