Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Prihatin Mart Bantu Rakyat Pedalaman

By 1 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abidin A.Ghani (Hulu Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA BERANG, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Ahli Parlimen Hulu Terengganu memperkenalkan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart bagi membantu orang ramai terutama masyarakat di kawasan pedalaman bagi mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid, berkata program Prihatin Mart dicetus bagi membantu orang ramai di kawasan kampung yang terkesan dengan pandemik COVID-19, memperoleh barangan seperti beras, gula, susu dan barangan lain tanpa rasa terbeban.

“Harga yang ditawarkan di Prihatin Mart adalah tiga puluh peratus lebih murah daripada harga yang terdapat di kedai runcit biasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

“Prihatin Mart akan menjelajah ke seluruh kampung di Hulu Terengganu mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tempoh setahun,” katanya pada majlis pelancaran Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menambah, objektif utama program itu diadakan adalah untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama yang terkesan dan terjejas dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda sekarang.

Orang ramai berbaris bagi membeli barangan keperluan harian yang lebih murah di Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Orang ramai berbaris bagi membeli barangan keperluan harian yang lebih murah di Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

“Prihatin Mart akan memuat naik barangan bernilai RM15,000 setiap kali bergerak ke lokasi yang ditetapkan dan orang ramai akan dimaklumkan terlebih dahulu jadual kedai runcit bergerak itu.

“Pelancaran Prihatin Mart membolehkan pengguna menikmati penjimatan berganda dalam perbelanjaan barangan keperluan harian selain menjimatkan masa dan mengurangkan kos pengguna keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan.

Seorang pengguna membayar barangan yang dibeli di Prihatin Mart.

Seorang pengguna membayar barangan yang dibeli di Prihatin Mart.

“Kerajaan bertekad akan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan pelaksanaan Prihatin Mart ini akan diperluaskan secara berperingkat bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengguna, Kariman Hasan, 54, dari Kampung Mesah dekat sini berterima kasih kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

“Dengan adanya Prihatin Mart, saya boleh membeli barangan keperluan dengan lebih murah dan seterusnya mengurangkan bebanan keluarga,” katanya.

Kariman Hasan, 54.

Kariman Hasan, 54.

Seorang lagi pengguna, Abdul Samad Abd.Ghani, 62, mencadangkan agar Prihatin Mart lebih kerap memasuki kampung bagi membantu orang ramai membeli barangan dengan harga lebih murah.

Abdul Samad Abd.Ghani, 62.

Abdul Samad Abd.Ghani, 62.

“Program seperti ini sememangnya dinantikan oleh orang ramai terutama masyarakat kampung yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sekarang,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda