Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jambatan Pelangi Tarikan Baharu Pelancongan Pitas

By 20 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Asmidar Zainol (Kota Kinabalu)

PITAS, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Jambatan Pelangi di Pitas Mangrove Rosob memberi nafas baharu kepada bidang pelancongan di daerah ini.

Menurut Pegawai Daerah Pitas Bakri Nanun, pembangunan bidang pelancongan menjadi keutamaan dalam bidang ekopelancongan bagi menjana pendapatan rakyat di daerah berkenaan.

“Walaupun kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami berharap pada tahun ini lebih ramai pelancong dalam negara terutamanya dalam negeri Sabah akan berkunjung ke daerah Pitas.

“Dengan ketibaan pelancong ke sini, secara tidak langsung ia akan dapat membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Secara tidak langsung pendapatan masyarakat tempatan akan dapat dipertingkatkan dan sekali gus menjadikan Pitas sebagai salah satu destinasi yang wajib dikunjungi apabila datang ke negeri Sabah,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Tambah Bakri, sebagai persediaan, pihaknya akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di daerah berkenaan.

“Pada masa ini kami dalam proses menaik taraf jalan raya, membina loji air dan beberapa kemudahan lain bagi keselesaan penduduk dan juga mereka yang berkunjung ke Pitas.

“Pihak Pejabat Daerah Pitas sentiasa membuka pintu kepada warga Pitas yang ingin mendapatkan pandangan dan nasihat pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Bakri turut melahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri, atas sumbangan peruntukan untuk mengindahkan jambatan dalam kawasan hutan paya bakau tersebut.

“Peruntukan itu juga digunakan bagi menaik taraf jambatan sepanjang 300 meter yang mana kerja-kerja naik taraf memakan masa hampir tiga bulan dan ia dilaksanakan secara gotong royong oleh penduduk kampung di kawasan berkenaan.

“Idea dan cadangan oleh Datuk Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan I telah menjadikan hutan paya bakau tersebut sebagai lokasi terbaik untuk penggemar fotografi terutamanya kepada pengguna-pengguna aplikasi Instagram dan secara tidak langsung keindahan daerah ini dapat dikongsi dan disebar luas ke seluruh negara,” kongsinya.

-RI

Tinggalkan komen anda