
Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)
JEMPOL, 2 April (Malaysiaaktif) – Seramai 15 orang agropreneur muda dalam parlimen Jempol telah menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata seramai 62 orang agroprenuer muda dari seluruh negeri ini telah menerima geran tersebut dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.18 juta dan daripada jumlah tersebut, 15 adalah dari parlimen sini.
“Kelulusan 15 orang agroprenuer muda ini melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM0.30 juta yang mana melibatkan sektor tanaman (RM0.18 juta), sektor perikanan (RM0.02 juta), sektor ternakan (RM0.04 juta) dan sektor industri makanan (RM0.06 juta).
“Geran Agropreneur Muda (GAM) merupakan bantuan berbentuk barangan di mana mampu meningkatkan pengeluaran hasil serta menambah pendapatan agropreneur muda dan bagi tahun 2021 ini, peruntukan adalah sebanyak RM15 juta dengan menyasarkan seramai 750 usahawan muda,” katanya ketika merasmikan program jelajah agropreneur muda negeri Sembilan di Batu Kikir, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Hamzah turut mengumumkan bantuan segera berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja pengukuhan tebing bagi kawasan sawah padi di Kuala Jempol.
“Pihak kementerian sedang laksanakan beberapa projek fizikal untuk kawasan jelapang padi dan peruntukan telah disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan projek ini adalah untuk menaiktaraf infrastruktur pengairan kerana mampu meningkatkan pengeluaran melalui peningkatan hasil padi yang diusahakan,” katanya.
Sementara itu, Shazwan Mohd Yaacob, 28, yang mewakili lapan orang penerima geran berjumlah RM 160,000 bagi sektor pertanian melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima dan berhasrat untuk meluaskan lagi tanaman beliau agar dapat dieksport ke luar.
“Usaha kerajaan untuk membantu petani muda agar terus maju dalam industri pertanian adalah amat baik kerana ianya dapat menarik lebih ramai lagi anak muda untuk berkecimpung dalam bidang pertanian,” ujar usahawan tanaman cili dan timun Felda Palong 14 ini.
-FF