
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 24 April (Malaysiaaktif) –Sebanyak 17 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar daerah Gombak berpadu tenaga memasak tujuh periuk bubur lambuk.
Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) Daerah Gombak Mohd Fahmy Alfian, berkata program berkenaan adalah acara tahunan di samping untuk berkongsi rezeki di bulan Ramadan.
“Ahli-ahli NGO yang terlibat mengumpulkan dana yang disumbangkan secara persendirian atau melalui syarikat-syarikat tertentu.
“Ianya digunakan untuk membeli bahan-bahan keperluan memasak bubur lambuk dan selebihnya dijadikan sumbangan barangan keperluan untuk golongan asnaf yang terpilih.
“Bubur lambuk ini akan diagihkan kepada orang ramai di bazar-bazar Ramadan, petugas barisan hadapan dan asnaf-asnaf,” katanya.

Para petugas sedang menyiapkan bubur lambuk dalam bekas sebelum diagihkan kepada kepada orang ramai, golongan asnaf dan petugas barisan hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Agihan Bubur Lambuk Norma Baharu di Balairaya Datuk Dr Rahman Ismail, Kampung Tengah Lembah, di sini hari ini.
Ketua Tukang Masak Norazman Zakaria, berkata resepi ‘Bubur Lambuk Tok Man’ yang dimasak mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Resepi ini adalah gabungan bahan-bahan asli bubur lambuk yang diadun dengan cara masakan makanan Kantonis.
“Sebanyak tujuh periuk dimasak oleh ahli-ahli NGO ini yang dapat menghasilkan lebih 1,600 pek bubur lambuk.
“Alhamdulillah, ramai anak muda turut serta dan bergabung memasak bubur lambuk yang menjadi makanan tradisi sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Sumbangan barang keperluan kepada golongan asnaf turut diadakan sempena program Agihan Bubur Lambuk Norma Baharu di Kampung Tengah Lembah, Gombak hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Bell Belia Tamil Daerah Gombak Vikneswaran Sagadevan, berkata ini merupakan pengalaman pertama beliau terlibat secara langsung memasak bubur lambuk.
“Saya sangat teruja memasak bubur lambuk dalam program ini yang menjadi makanan tradisi umat Islam di Malaysia.
“Adunan resepi daripada pelbagai rempah ratus dan bahan-bahan lain menghasilkan aroma yang sedap, malah ianya turut dimasak beramai-ramai.
“Secara tidak langsung ianya mengeratkan hubungan silaturahim dan harap dilaksanakan dengan lebih kerap,” katanya yang juga Exco MBM Negeri Selangor.
-RI