Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

2,776 Kes Baharu, 13 Kematian

By 27 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 27 April (Malaysiaaktif) – Kes positif baharu COVID-19 di negara ini kekal melebihi paras 2,000 dengan 2,776 kes selain 13 kematian dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mencecah 395,718 kes.

“Daripada jumlah kes positif baharu yang dilaporkan hari ini (Isnin), 2,773 merupakan kes tempatan sementara tiga adalah kes import,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif pada semalam ialah sebanyak 24,713 dengan 300 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 133 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata jumlah kes sembuh yang dilaporkan pula ialah 1,803 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada pandemik itu kini berjumlah 369,556 atau 93.4 peratus.

Empat negeri yang mencatat kes harian baharu tertinggi ialah Selangor dengan 762 kes, diikuti Sarawak (615), Kelantan (343) dan Johor (309), katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata Kementerian Kesihatan mengenal pasti 12 kluster baharu melibatkan masing-masing empat kluster tempat kerja dan kluster komuniti, dua kluster sektor pendidikan serta masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Sarawak dan Johor menjadi negeri yang mencatatkan kluster baharu tertinggi dengan masing-masing melaporkan tiga kluster baharu.

Kluster baharu yang dilaporkan di Sarawak terdiri daripada Kluster Pondok Belaga (tempat kerja), Kluster Jalan Sebauh-Bintulu (komuniti) dan Kluster Sungai Senibung (institusi pendidikan) sementara Johor mencatatkan dua kluster baharu tempat kerja iaitu, Kluster Jalan Raja Bukit Pasir dan Kluster Tapak Bina Tanjung Kupang dan satu kluster baharu keagamaan, Kluster Jalan Impian Emas 17.

Melaka melaporkan dua kluster baharu komuniti, Kluster Jalan Kesidang dan Kluster Kota Syahbandar sementara Pulau Pinang mencatatkan dua kluster baharu, Kluster Jalan Arumugam Pillai (komuniti) dan Kluster Kampung Selamat (pusat tahanan).

Selangor mencatatkan satu kluster baharu kategori tempat kerja, Kluster Kampung Batu Sembilan sementara Kelantan mencatatkan satu kluster baharu pendidikan, Kluster Kampung Pangkal Chuit.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda