
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)/Hospital Sik
SIK, 27 April (Malaysiaaktif) – Seramai 78 orang pesakit yang mempunyai masalah kegagalan buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis menerima suntikan dos pertama vaksin fasa kedua menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Hospital Sik.
Menurut Pengarahnya Dr Aniza Ahmat, semua pesakit yang menerima suntikan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang komplikasi.
“Meskipun pada awalnya ada yang gementar untuk menerima suntikan vaksin tersebut, namun rata-rata menyatakan keyakinan terhadap usaha kerajaan dalam membendung penyebaran virus COVID-19.
“Tidak dinafikan terdapat banyak khabar angin serta maklumat yang kurang tepat berkaitan vaksin ini namun setelah diberi penerangan terperinci, semua pesakit lebih yakin dan tidak terpengaruh dengan khabar negatif berkaitan vaksin ini,” ujarnya ketika dihubungi, di sini semalam.
Menurut Dr. Aniza, jumlah yang mendaftar di Sik juga masih rendah dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin ini dalam usaha untuk membentuk imuniti berkelompok.
“Selain daripada pendaftaran menerusi MySejahtera dan laman sesawang, orang ramai juga boleh mendaftar di hospital, klinik kesihatan serta menerusi perkhidmatan kaunter yang disediakan oleh jabatan-jabatan kerajaan.
“Fasa kedua PICK melibatkan pemberian vaksin kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, individu berisiko dan berpenyakit serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.
~RJ~