
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/APMM Labuan
LABUAN, 18 April (Malaysiaaktif) –Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan dua bot pancing tempatan bersama lapan kru dalam Op Pelantar, sekitar pukul 3.20 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin bin Jusoh berkata, semasa melaksanakan Op Pelantar, bot ronda Zon Maritim Labuan mengesan dua bot pancing yang mencurigakan di kedudukan sekitar 23.4 batu nautika barat laut dari Pulau Labuan yang sedang leka menjalankan aktiviti perikanan berhampiran sebuah pelantar minyak.
“Pemeriksaan mendapati setiap bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk tekong berusia 18 hingga 53 tahun, empat daripada lapan kru yang diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala lesen salah sebuah bot terbabit telah tamat tempoh.
“Bot serta kru ditahan dan diiring ke jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut di bawah Peraturan Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 (Kapal Kecil, Berlesen Sabah) 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Jelasnya, komuniti maritim diingatkan untuk mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah diwartakan bagi mengelakkan sebarang musibah.
“Mereka yang ingkar boleh dikenakan sebarang tindakan seperti yang telah termaktub di dalam peruntukan undang-undang, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pencabulan undang-undang Persekutuan,” tambahnya.
-RI