
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS
GOMBAK, 21 April (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menutup sementara Bazar Ramadan Greenwood, di sini selama empat hari bermula 22 hingga 25 April kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad, berkata penutupan bazar pada tarikh berkenaan dibuat setelah mengambil kira kebajikan para peniaga yang telah memasak untuk jualan pada hari ini.
“Penyerahan notis tutup bazar mengikut Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988( Akta 342) telah diserahkan kepada wakil pengelola Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3 di Jabatan Pelesenan pada hari ini.
“Penyerahan notis penutupan ini telah dikeluarkan oleh Pegawai Yang Diberikuasa, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pada masa yang sama, MPS turut menerangkan SOP dan tindakan pematuhan yang perlu dipatuhi bagi tujuan pembukaan semula bazar kepada wakil pengelola yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedudukan gerai-gerai yang tiada penjarakan satu meter adalah melanggar SOP yang ditetapkan pihak MPS di Bazar Ramadan tahun ini.
Menurutnya, antara kesalahan sehingga membawa kepada penutupan bazar ini ialah tidak mematuhi jarak satu meter antara khemah peniaga, tiada kawalan masuk dan keluar serta terdapat peniaga yang menjual selain daripada makanan dan minuman bermasak sahaja.
“MPS juga telah menetapkan kepada semua penganjur dan pengelola untuk melaksanakan SOP tambahan iaitu penggunaan kad nombor giliran kepada pengunjung serta mewujudkan laluan sehala di dalam bazar.
“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas juga tidak dibenarkan masuk ke Bazar Ramadan,” jelasnya.
Katanya, MPS juga ingin mengingatkan para pengunjung dan peniaga agar tidak leka dan alpa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan agar penularan wabak COVID-19 dapat dikawal.
-RI