
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 26 April (Malaysiaaktif) – Usaha untuk memupuk kesedaran awam mengenai isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran melalui media elektronik, media cetak, komunikasi bersemuka dan visual perlu dipertingkatkan agar semua lapisan masyarakat sedar akan akan bahayanya.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin Daud, pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran kini tidak lagi terhad kepada pendekatan fizikal seperti penculikan namun telah menggunakan media siber terutamanya media sosial sebagai platform untuk mendapatkan atau mempengaruhi mangsa.
“Semua pengguna internet dan perkhidmatan atas talian adalah terdedah kepada jenayah siber dan jenayah siber tidak boleh dipandang ringan sebab ia telah berlaku dan para pengguna media sosial diingatkan untuk berhati-hati dan tidak memberi maklumat diri, keluarga dan orang terdekat kepada mereka yang tidak dikenali.
“Antara cabaran dalam menangani masalah ini ialah jaringan jenayah ini sentiasa mengubah modus operandi mereka manakala pandangan umum pula, masalah ini dilihat dari konteks pendatang tanpa izin dan masyarakat digalakkan untuk bersama-sama pihak berkuasa dalam menangani masalah ini yang dilihat boleh mengancam keselamatan negara,’’ ujar beliau ketika memberi ceramah bagi Program Info on Wheels (IoW)@MAPO bersama Penggerak Komuniti Tempatan Johol dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) Dangi, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Johol Saiful Yazan Sulaiman, turut mengingatkan warga Dangi untuk sentiasa memberi bantuan dan kerjasama kepada KRT untuk memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara.
“Perkara yang digusarkan bagi penduduk di luar bandar pada masa kini ialah aktiviti penipuan dalam talian yang bukan sahaja melibatkan wang ringgit malah melibatkan aktiviti pemerdagangan orang,” ujarnya.
Beliau berharap agar semua yang hadir dapat menyampaikan maklumat yang diterima kepada ahli keluarga dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan terutama dalam menyambut musim perayaan yang akan tiba nanti.
-FF