
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 13 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 14 francaisor dibawakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu (KPDNHEP) dalam siri Program Jelajah Franchise Bay di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Kuala Terengganu dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais khususnya generasi muda di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, berkata ketika ini jumlah francais masih terlalu kecil iaitu sebanyak 1,091 jenama francais yang berdaftar di Malaysia, dengan 694 daripadanya adalah jenama tempatan.

Rosol berkata Program Jelajah Franchise Bay dedahkan mengenai sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta bantuan latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.
“Saya berharap di KTCC kali ini, lebih ramai potensi francais akan terhasil dan di kesempatan ini saya mengajak rakyat Terengganu untuk merebut peluang yang kita bawakan.
“Melalui siri jelajah ini, bakal-bakal usahawan akan didedahkan mengenai sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta bantuan latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Rosol (tengah) meluangkan masa melawat kaunter pendaftaran vaksin Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.
Rosol berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik yang khusus untuk golongan B40 dan M40 menceburi bidang perniagaan francais.
“Francais mampu milik adalah pakej perniagaan bernilai RM100 ribu dan ke bawah, manakala francais mikro pula bernilai RM50 ribu dan ke bawah.
“KPDNHEP akan menyediakan dua bentuk geran iaitu Geran Pembangunan Pakej Francais Mikro dan Mampu Milik iaitu geran penuh berjumlah RM2 juta yang ditawarkan kepada pihak francaisor bagi tujuan membangunkan prototaip francais mikro dan mampu milik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di sini, baru-baru ini.
Tambah Rosol, Geran Pemudahcara Francais Mikro dan Francais Mampu Milik iaitu geran padanan berjumlah RM2.5 juta untuk golongan B40 dan M40 memulakan perniagaan francais mikro dan mampu milik.
“Bagi merealisasikan hasrat dan usaha KPDNHEP untuk menggalakkan pertumbuhan lebih banyak francais mampu milik dan mikro ini, kementerian amat mengharapkan dan mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk membantu menyediakan tapak perniagaan yang strategik seperti di bangunan kerajaan, hospital, kiosk, medan selera dan sebagainya dengan kadar sewaan yang berpatutan.
“Mungkin kerajaan Negeri Terengganu boleh menjadi perintis kepada usaha ini dan pihak kementerian bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri dan PBT untuk menjayakan hasrat ini,” tambah Rosol.
Program Jelajah Francais Bay telah dilancarkan di Melaka minggu lalu dan Terengganu merupakan destinasi kedua siri jelajah tersebut diikuti siri-siri lain di Johor, Pahang, Selangor, Kedah dan Sarawak.
-ii-